الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على رسول الأمين وعلى آله
"Bapak saya pun tak pernah pukul saya, tahu tak cikgu!"
"Bapak saya tak pernah tengking saya macam ni tau!"
"Bapak saya pun tak pernah sentuh muka saya, cikgu pula lebih-lebih!"
"Bapak saya.....bla bla bla..."
"Bapak saya.....bla bla bla..."
Cikgu yang hilang sabar akhirnya membalas ringkas, "Itu sebab awak jadi
macam ni! Itu sebab saya yang buat, sebab bapak awak tak buat!"
Gejala yang biasa berlaku di sekolah zaman ini, terutamanya di
kelas-kelas 'hujung'. Cikgu berpenat lelah mengajar pelajar yang tak
mahu belajar dan tak sudi diajar. Elok sangat lah tu, akhirnya jadi
kurang ajar!
Mak saya merupakan seorang guru sekolah menengah yang sudah
berpengalaman lebih dua puluh tahun mengajar. Banyak kisah suka dan duka
dunia persekolahan yang dikongsi bersama.
Kisah yang menarik ingin saya kongsi dalam tulisan ini adalah berkaitan
pelajar yang 'super-lembap' dan karenah ibu bapa masa kini.
Pernah satu ketika, pelajar yang memang ternyata 'mentally-retarded',
masih bersekolah di sekolah konvensional sehingga tingkatan 5, sedang
sepatutnya dia dihantar sejak awal lagi ke sekolah khas. Tak reti duduk
diam, mengacau orang lain, tak boleh dengar kata, dan tak reti membaca
mengira.
Bila tiba masa perjumpaan guru dengan ibu ayah pelajar, ibunya
bertanyakan guru yang mengajar anaknya, "bagaimana ya cikgu, prestasi
anak saya?"
Ya betul, mungkin ramai yang rasa pelik, apa masalahnya ibu bertanya
soalan sebegitu kepada guru. Tetapi cuba bayangkan, belasan tahun
anaknya telah bersekolah, takkan tahap intelektual anaknya pun dia tak tahu?
Apa yang dia buat dengan anaknya sejak dari kecil? Tak pernah kah dia
semak kerja-kerja sekolah anaknya? Tidak tahukah dia anaknya tak tahu
membaca dan mengira? Tak sedarkah dia keputusan peperiksaan anaknya
sentiasa gagal?
Apa yang ibu bapa buat?
Sekali lagi, saya berasa hairan, apa yang ibu bapa buat?
Mengapa anak itu secara tegar dibiarkan (baca : dipaksa) duduk di
sekolah sedemikian rupa?
Tiadakah tempat lain untuk anak itu dibesarkan selain sekolah
konvensional? Masih mahukan anaknya berada di sekolah 'budak normal'
demi untuk dilihat orang bahawa "anak aku normal!"? Bahawa "anak aku
pandai, masuk sekolah!"?
Mengapa pertanggungjawaban mendidik anak itu diserah bulat-bulat kepada
gurunya di sekolah?
Bila dilihat status ibu bapa pelajar-pelajar begini, semuanya kaya raya.
Jenis golongan yang tiada masalah kewangan. Bahasa kasarnya, duit
berkepuk-kepuk!
...............
Ada yang tertanya-tanya, dialog di awal tulisan saya tu, apa kaitannya?
Itu adalah diantara dialog pelajar yang malas dan agak lembap di dalam
kelas. Sampai satu tahap, si guru menengking pelajar itu kerana tidak
tahan lagi dengan karenah pelajar itu yang mengada-ngada tidak pernah
nak mendengar kata, sampai tercuit muka pelajar itu.
"Cikgu, bapak saya pun tak pernah sentuh muka saya tau!"
Bapanya tak pernah sentuh muka kau, so what?! Kalau kau otak geliga,
rajin belajar, hidung mancung, pipi seludang, takpa lah. Ini tidak,
sudah lah pemalas, muka pula 'dua puluh sen'. Disentuh sikit, dan
melatah. Memang hati tikus!
Ada seorang pelajar lain, markah peperiksaan percubaannya 6 % sahaja.
Sepanjang ambil mata pelajaran sains, tak pernah lulus, sedangkan SPM
hanya tinggal sebulan lebih.
Bila diajar berkali-kali, benda yang sama berulang kali, bila ditanya
masih 'blur' tak dapat jawab. Guru mana yang tak tertekan dengan anak
murid begini? Suara dah habis dikeluarkan, tekak pun dah kering.
"Isy cikgu, saya tak boleh buat la cikgu! Saya memang tak reti..." Dia
memberi alasan.
"Hmmm kamu ni, kalau memang tak minat belajar, habis kamu minat apa?"
Tanya cikgu.
"Saya, kalau kemahiran boleh lah cikgu..."
"Habis tu, kenapa tak masuk sekolah yang belajar kemahiran?"
"Saya nak masuk, bapak saya tak bagi! Dia suruh belajar ambil SPM!"
Jawab pelajar itu dengan penuh emosi.
Saya teringin nak tahu, persoalan utama saya;
Mengapa ibu bapa memaksa anak mereka ambil SPM, ada juga yang paksa
masuk kelas aliran sains, sedangkan ada yang tak tahu fasih membaca dan
mengira pun? Apa yang si anak itu dapat, kalau ambil subjek-subjek itu
semata-mata untuk gagal?
Persoalan kedua dan seterusnya;
Ataupun ibu bapa tidak pernah ambil tahu bahawa anaknya tidak mampu
membaca dan mengira, atau anaknya tidak minat sesuatu bidang/aliran?
Ataupun ibu bapa tetap mahu menjaga air muka masing-masing, memastikan
anaknya habis SPM kelihatan seperti anak-anak biasa, dan lulus kolej
memegang sijil/ijazah, walaupun dipaksa?
Pada pandangan saya, semua manusia dilahirkan dengan potensi
masing-masing. Ibu bapa sepatutnya sedar perkara ini. Ibu bapa lah yang
bertanggungjawab membentuk anak-anak dengan acuan yang mereka kehendaki,
mengikut visi mereka, sejak dari bayi sampai besar.
Persoalannya di sini, ibu bapa mula nak membentuk anak supaya mencapai
cita-cita ibu bapa, dan semuanya seolah-olah bermula dari sekolah
menengah, selepas mana melihat anaknya macam 'tak menjadi'. Kemudian
mula lah dilepaskan segala tanggungjawab kepada guru sekolah, pusat
tusyen, dan pihak-pihak lain lagi.
Sejak dari kecil, apa yang ibu bapa dah buat? Apa yang telah mereka
bentuk dari bayi sehingga kanak-kanak, sehingga remaja?
Video games? Gadjets? TV dan movies? Artis dan lagu?
Ibu bapa sibuk cari duit, sampai tak larat dan takda masa nak berborak
dengan anak-anak tentang visi hidup mereka?
Ibu bapa terlalu sibuk, sehingga segala urusan di'wakil'kan kepada orang
gaji, cikgu sekolah, dan cikgu tusyen?
Akhirnya, bila sampai masa anak nak menentukan aliran dan bidang, ibu
bapa baru teringat akan visi yang mereka idamkan dulu-dulu. Mereka nak
anak mereka jadi doktor (contohnya). Maka dihambat anaknya untuk lulus
SPM, kemudian dihambat anak itu masuk mengaji jadi doktor. Bayar lah
berapa ribu pun tak mengapa, asalkan ibu bapa puas hati, cita-cita
'mereka' tercapai, dengan memaksa anak mereka mencapai cita-cita 'mereka'.
Tulisan ini lebih kepada lontaran persoalan dan perasaan. Untuk
difikirkan bersama. Tiada penyelesaian pun. Benda begini kalau disimpan
dalam hati, boleh naik darah tinggi! Biarlah dilepaskan dalam ruangan
berhabuk ini.
Allahu A'lam.
والحمد لله رب العالمين