Jangan berasa pelik dengan ketaatan yang diberikan oleh Allah SWT kepada
anda. Jangan tertipu dan terpedaya kerana anda tidak tahu apakah
ketaatan anda diterima oleh Allah SWT atau ditolak-Nya. Mungkin berlaku
beberapa kesalahan dalam ketaatan yang sedang anda lakukan.
Mungkin dalam ketaatan timbul perasaan riya'. Mungkin apa yang anda
kerjakan tidak ikhlas. Sikap-sikap sebegini yang akan mencacatkan ibadah
anda. Oleh itu, Saidina Ali RA berkata yang bermaksud: "Keburukan yang
engkau lakukan lebih baik di sisi Allah SWT daripada kebaikan yang
engkau kagumi."
Keburukan yang anda lakukan kemudian anda sesali serta memohon
keampunan daripada Allah SWT itu lebih baik berbanding anda melakukan
kebaikan sedangkan kebaikan yang anda lakukan adalah semata-mata untuk
dibangga-banggakan.
Nota Tambahan:
Di antara syarat diterimanya amal soleh adalah bersih daripada riya' dan sesuai dengan sunah.
Orang yang melakukan ibadah dengan maksud agar dilihat orang lain,
maka dia telah terjerumus ke dalam perbuatan syirik kecil dan amalnya
menjadi sia-sia belaka. Misalnya, berpuasa agar dipuji oleh orang lain.